Saturday, June 6, 2009

KEKELIRUAN EJAAN


1. bumiputera dan bumiputra Kata yang tepat untuk makna pribumi atau anak negeri ialah bumiputera. Kata bumiputra pada kata nama Bank Bumiputra Commerce ialah contoh penggunaan ejaan yang salah. Walau bagaimanapun, ejaan nama bank tersebut tidak boleh diubah kerana telah terdaftar secara sah.

2. memastikan dan mempastikan Dalam bahasa Melayu, kata dasar tertentu yang diawali dengan huruf k, p, t, dan s, akan berubah apabila mendapat apitan meN-...-kan kecuali untuk kata pinjaman. Jadi, kata dasar pasti, akan menerbitkan kata memastikan. Contoh-contoh lain, mengayakan, mengemaskan dan mengendalikan.

Sunday, May 24, 2009

Wacana Bahasa


Perkembangan segala macam ilmu dalam pelbagai bidang, menjadikan bahasa sebahagian daripada keperluan itu. Usaha penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi tidak bergerak sejajar dengan perkembangan ilmu dan perkembangan negara. Negara maju seperti Jepun, Korea, Taiwan, Jerman, dan Perancis tanpa resah dengan bahasa Inggeris terus membangun dan memajukan negara mereka dengan menggunakan bahasa sendiri, termasuk ke arah kemajuan teknologi dan perindustriannya.

Mereka mungkin mempelajari bahasa lain, termasuklah bahasa Inggeris tetapi dirancang mengikut keperluan. Keadaan inilah yang terjadi di China sekarang dalam era kebangkitannya yang sedang menyaingi pengaruh politik dan kuasa ekonomi Amerika secara senyap. Kita pula seolah-olah tidak berupaya melangkah seiring dengan mereka. Mereka mempertahankan kewibawaan bahasa mereka sendiri dan menjadikan bahasa mereka sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa kepustakaan serta bahasa ilmu pengetahuan. Situasi masa hadapan akan menjadi lebih parah lagi apabila bahasa Melayu akan hilang fungsinya sebagai bahasa pembinaan tamadun bangsa.

(Datuk A.Aziz Deraman, Klik DBP, Berita Harian, 17 September 2008)